Sunday 29 July 2012

2 penggodam ditahan polis

SEOUL: Polis Korea Selatan menahan dua penggodam internet yang mencuri 8.7 juta data peribadi pelanggan syarikat telekomunikasi selular kedua terbesar negara ini.
KT Corporation berkata, penggodam yang ditahan secara rasmi semalam, mencuri data seperti nama, nombor telefon dan alamat pelanggan yang didaftarkan, selama lima bulan sejak Februari lalu dan menjual maklumat itu kepada firma telepemasaran.

Jurucakap KT berkata, “Jumlah mangsa hampir separuh daripada kira-kira 17 juta pelanggan kami.”

Dia berkata, syarikat telah membuat laporan polis pada 13 Julai lalu selepas mengesan kesan penggodaman.


Agensi berita Yonghap memetik polis sebagai berkata, dua penggodam, seorang daripadanya bekas pengaturcara veteran di syarikat teknologi maklumat tempatan, memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya 1 bilion won (RM2.8 juta) dengan menjual maklumat yang dicuri.

Tujuh lagi turut ditahan kerana membeli maklumat curi untuk digunakan dalam telepemasaran, lapor Yonhap.

“Kami memohon maaf kerana gagal menyimpan maklumat peribadi anda yang sangat penting... kami akan cuba sedaya upaya untuk memastikan ia tidak berlaku lagi,” kata KT dalam satu kenyataan kepada pelanggan.

Serangan penggodam komputer ke atas syarikat besar untuk mendapatkan akses data peribadi pelanggan mereka sering berlaku di Korea Selatan, satu daripada negara dunia yang paling banyak menggunakan internet.

Pihak berkuasa Seoul berkata pada Julai tahun lalu, penggodam menggunakan alamat Internet yang didaftar di China untuk mengakses laman web besar di Korea Selatan termasuk laman portal Nate.com dan mungkin telah mencuri kira-kira 35 juta data peribadi pengguna.

Pada 11 November tahun lalu, pembina permainan terkenal di Seoul, Nexon mendapati maklumat peribadi 13 juta pengguna di laman web permainan popular, MapleStory, dicuri penggodam. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/30

0 comments:

Post a Comment